Laman Utama / Prosedur Permohonan Pelajar

Prosedur Permohonan Pelajar

Dikemaskini Oleh : Pentadbir Portal
Tarikh Cipta : 06-11-2012

PERATURAN DAN PROSEDUR PERMOHONAN SURAT SOKONGAN PAS LAWATAN IKHTISAS BELAJAR AGAMA ISLAM BAGI WARGANEGARA ASING

PELAJAR WARGANEGARA ASING

AM
 
1.    Panduan ini disediakan kepada  penganjur/ institusi berkaitan bagi menjelaskan peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia mengenai permohonan surat sokongan Pas Lawatan Ikhtisas (PLI) untuk warganegara asing belajar agama Islam di Malaysia.

DEFINISI

2.    Pelajar warganegara asing ialah individu beragama Islam yang datang ke Negara ini untuk mendalami bidang agama Islam di sekolah / institusi pengajian bantuan Kerajaan, badan berkanun, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau swasta yang berdaftar dengan Kerajaan atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)/ Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)/ Jabatan Mufti Negeri.

 
 PROSEDUR PERMOHONAN
 
3.    Setiap permohonan perlu mengisi borang permohonan secara dalam talian (online) mengikut kategori permohonan melalui Sistem Sokongan Pas Lawatan Ikhtisas di http://e-ikhtisas.islam.gov.my
4.    Dokumen-dokumen ASAL yang perlu disertakan secara imbasan (scan) dan dimuatnaik ke dalam sistem ialah:

4.1.    Surat perakuan daripada pihak penganjur;
4.2.    Pasport antarabangsa (termasuk halaman tarikh tamat pasport);
4.3.    Pas Lawatan Ikhtisas terkini (bagi permohonan lanjutan);
4.4.    Jadual waktu belajar pemohon mestilah menyatakan hari dan masa pengajian; dan
4.5.    Sijil kelulusan/ pendidikan tertinggi/ dokumen lain yang disahkan untuk menyokong permohonan (jika ada).
5.    Permohonan tidak akan disokong jika borang permohonan yang diterima tidak lengkap.
6.    Setiap pemohon dikehendaki menghadiri sesi temu duga bagi tapisan kelayakan yang diadakan oleh JAIN/ MAIN/ Jabatan Mufti.

SYARAT-SYARAT DAN PERATURAN

7.    Syarat-Syarat Pelajar

7.1.    Tempat belajar hendaklah di Institusi Pengajian Agama yang berdaftar  dengan JAIN/ MAIN/ Jabatan Mufti Negeri; 
7.2.    Jadual pengajian agama Islam mestilah berbentuk harian dan sepenuh masa iaitu sekurang-kurangnya lima (5) jam sehari belajar di premis pengajian;
7.3.    Kelas-kelas agama secara sambilan atau program hujung minggu tidak akan diberi kelulusan;
7.4.    Mempunyai penganjur;
7.5.    Lulus temu duga yang telah ditetapkan oleh JAIN/ MAIN/ Jabatan Mufti;
7.6.    Pelajar mestilah berusia di antara 18 hingga 35 tahun sahaja. Bagi pelajar lanjutan yang berumur melebihi 35 tahun, lanjutan diberi hanya untuk dua tahun sahaja;
7.7.   Pemohon yang baru memeluk Islam berusia 31 dan ke atas, tempoh pengajian (sepenuh masa)  yang dibenarkan hanya 5 tahun;
7.8.    Pelajar yang berusia 17 tahun dan ke bawah perlu merujuk kepada JAIN;
7.9.    Perlu mendapatkan Surat Tukar Penganjur dari tempat pengajian lama, sekiranya pemohon bertukar ke tempat pengajian baru;
7.10.    Pemohon tidak dibenarkan terlibat dengan mana-mana aktiviti perniagaan dan pekerjaan lain sama ada sementara, sambilan atau sepenuh masa sepanjang tempoh pengajian;
7.11.    Berakhlak baik dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia atau di negara asal; dan
7.12.    Patuh kepada undang-undang, peraturan-peraturan dan syarat-syarat ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), JAIN/ MAIN/ Jabatan Mufti, Jabatan Imigresen Malaysia atau mana-mana jabatan, agensi dan pihak berkuasa yang lain di Malaysia.

8.    Pihak Penganjur/ Institusi Pengajian

8.1.    Syarat-syarat yang perlu dipatuhi:
a)    Institusi pengajian yang ingin menerima permohonan pelajar warganegara asing perlu berdaftar dengan JAIN/ MAIN/ Jabatan Mufti atau pihak berkuasa yang berkaitan;
b)    Penganjur perlu mendapatkan Nama Pengguna (ID) dan kata laluan (password)  daripada JAIN/ MAIN/ Jabatan Mufti;
c)    Setiap institusi pengajian agama perlu menetapkan jadual waktu belajar yang berbentuk harian dan sepenuh masa, sekurang-kurangnya lima (5) jam sehari belajar di premis yang dimohon; dan
d)    Penyediaan Surat Akuan Penganjur oleh penganjur bagi setiap pemohon.

8.2.    Tanggungjawab:
a)    Pihak penganjur/ institusi pengajian perlu mendaftar secara atas talian untuk setiap permohonan bagi pihak pelajar.
b)    Pihak penganjur diminta untuk menguruskan proses permohonan lanjutan dan permohonan baru selewat-lewatnya enam (6) minggu sebelum tamat tempoh Pas Lawatan Visa Ikhtisas bagi mengelakkan masalah kelewatan proses seterusnya. Jakim tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang masalah yang timbul disebabkan kecuaian dan kelewatan penganjur;
c)    Pihak penganjur diminta untuk menyemak status keputusan permohonan secara dalam talian sebelum datang ke Jakim/JAIN/MAIN/Jabatan Mufti Negeri untuk mendapatkan surat sokongan PLI;
d)    Pihak penganjur hendaklah memastikan segala syarat yang dikenakan dipatuhi, dan bertanggungjawab atas apa-apa pelanggaran syarat oleh pemohon; dan
e)    Semua kos penganjuran, pengurusan dan apa-apa tanggungan kerugian yang timbul dari mana-mana pihak atau disebabkan perlanggaran syarat, ianya adalah di bawah tanggungjawab pihak penganjur/ institusi pengajian sepenuhnya.

9.    Keputusan permohonan surat sokongan PLI boleh disemak melalui sistem dalam tempoh 14 hari bekerja. Sebarang keputusan yang dikeluarkan Jakim adalah MUKTAMAD.

10.    Jakim berhak membuat cadangan penamatan PLI pelajar kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya terdapat salah laku atau ketidakakuran kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6 dan Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024x768. Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Hak Cipta © 2012, JAKIM. Hakcipta Terpelihara. Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.